Sunday, November 13, 2011

Jihad Cinta Damia

"Apa salah Mia, Mama? Mia tutup aurat, Mia solat.. tiap-tiap hari Mia doakan kesejahteraan keluarga kita ma, tapi kenapa Tuhan balas Mia begini??!" Damia berada erat dalam dakapan ibunya, Faridah.
Sejak anaknya menjadi mangsa kerakusan lelaki tidak berhati perut, sejak itulah hidup anaknya seakan gelap. Tiada lagi senyum dan tawa yang menghiasi satu-satunya anak perempuan kesayangannya. Tercabar jua naluri keibuannya. Entah apa lagi yang harus dilakukan untuk mengembalikan semangat puteri kesayangannya. Pujukan dengan kata-kata seakan lemah buat Damia. Hanya doa yang mampu Faridah titipkan agar Damia kembali positif dalam hidupnya.
"Andai ibu diberi pilihan, biarlah ibu yang menanggung deritamu, Mia," bisik hati kecilnya.
Damia bukan lagi seperti dulu. Perwatakannya jauh berbeza dari sebelumnya. Kalau dulu pada awal Subuh dan selepas Maghrib akan terdengar alunan bacaan al-Quran yang merdu menghiasi kamarnya. Namun kali ini cuma esakan yang menjadi ganti suasana itu. Ah, rindunya pada Damia yang dulu! Terkadang hampir sahaja keluar sumpah serana dari bibirnya untuk lelaki tak bertamadun itu. Kalau ikutkan hati, biarlah lelaki itu mati di tangannya!
"Mama tak tahu lagi nak buat apa.. ma tak sanggup tengok adik kamu terus menangis macam ni. Sekarang dah hampir tiga bulan Johan. Tiga bulan! Tengoklah apa lelaki keparat tu dah buat dengan adik kamu! Makan pun payah, solat pun dia dah abaikan, asyik menangis.. menangis... menangis. Jumpa doktor psikologi pun tak ada sembuhnya!" Perasaannya berbaur marah dan kecewa.
Ujian apakah yang menimpa keluarganya? Cukuplah dia melalui zaman perit bersama bekas suaminya dulu, cukuplah hanya dia yang menanggung derita dan kecewanya terhadap seorang lelaki. Kenapa 'lelaki' juga yang memusnahkan hidup anaknya, Damia?!
"Ma, Jo tahu apa yang menimpa Damia memang teruk dan tak pernah terfikir pun ia akan berlaku. Tapi Jo yakin setiap kejadian ada hikmahnya, ma. Mama pernah ajar Jo kan, kita tak boleh putus asa dalam hidup ni sedangkan Allah masih tidak pernah putus menghulurkan pemberian-Nya. Allah masih memberi kita waktu untuk bernafas di udara-Nya, memberi waktu untuk mengingati-Nya, memohon pada-Nya. Mama juga pernah kata, tiap perbuatan ada balasannya. Selagi kita berhambakan Allah untuk hidup, dan bukan berhambakan hidup untuk Allah, kita pasti akan menemui kebahagiaan. Entah dunia atau Akhirat..." Matang bicara Johan.
Jatuh jua air mata Faridah, bersyukur memiliki anak seperti Johan. Saat dia hampir rebah, dia punya anak yang memapah. Wajarkah dia berputus asa pada rahmat-Nya?
"Alhamdulillah... terima kasih sedarkan mama, Jo. Kita sama-sama berdoa, semoga adik kamu tabah dan mendapat hidayah-Nya," Johan tersenyum sambil memegang erat tangan ibunya.
Jam hampir menunjukkan jam 8.20 malam. Bising. Satu-persatu buku dari rak yang tersusun kemas dibiarkan berselerak di atas lantai. Apa sahaja objek di hadapan mata Mia seakan tidak kena pada tempatnya. Pasu bunga yang dibiarkan jatuh dan pecah di hadapannya seakan menghiburkan hati. Lantas jari-jemarinya bermain dengan serpihan kaca yang berterabur di sekitar permukaan lantai. Tiada perkataan 'luka' yang wujud pada deria rasa saat Mia menyentuh serpihan-serpihan kaca oleh jemarinya. Baginya tidak ada gunanya lagi dia menghargai jasad yang sudah menjadi mangsa nafsu hamba dunia. Kotor! Jijik!
"Astaghfirullah.. Mia!" Faridah berlari mendapatkan Mia. Johan pantas menarik tangan adiknya yang sudah dibasahi darah kerana luka dari serpihan kaca yang disentuhnya.
"Mia! Kau sedar tak apa yang kau buat ni?!!"
"Johan, janganlah marah adik kamu.. dia masih tak stabil," ujar Faridah sambil berusaha menghentikan pendarahan dari kedua tapak tangan anaknya.
"Mia dah melampau ma! Kita berusaha untuk kembalikan semangatnya.. kita berdoa untuk dia tapi dia pula berusaha membunuh diri! Apa yang kau nak Mia? Kau nak biarkan lelaki tu rampas kesucian hati kau pula? Jangan pernah salahkan takdir Mia. Jangan pernah kesalkan hidup. Kau tak sedar ke berapa ramai lagi mangsa rogol di luar sana yang tak berpeluang meneruskan hidup macam kau? Jangan biarkan kebodohan lelaki tu pun buat kau bodoh!" Damia terdiam walau air matanya terus membasahi pipi gebunya.
Faridah hanya mampu diam, membiarkan Johan meneruskan kata-katanya dengan harapan dapat menyedarkan Damia.
"Berapa ramai lagi yang diuji di luar sana, sampai cacat pendengaran, buta pandangan tapi masih ada keinginan meneruskan hidup! Masih menghargai nyawa yang dianugerahi Allah. Abang tak kata dugaan kau tak sehebat mereka, tapi abang nak kau sedar Mia, betapa hebat pun ujian dan dugaan yang kita terima semuanya berpaksikan kembali pada Allah. Mengingati Allah," Johan tunduk menyelindungkan wajahnya yang dibasahi airmata.
Bukan niatnya untuk memburukkan Damia, tidak terdetik sedikitpun niat untuk melemparkan semua kesilapan di bahu Damia. Hati kecilnya turut tercalar dengan peristiwa yang menimpa adiknya. Perasaan bersalah menyelubungi dirinya yang mengakui tidak menjaga Damia sebaiknya. Andai sahaja dia tahu akan berlaku sesuatu, pasti Johan sanggup membatalkan niatnya untuk pergi mesyuarat. Aku tak patut biarkan Damia balik bersendirian!
"Maafkan Mia.. mama, abang Johan.."
"Mia tak pernah salah dengan mama, sayang," Faridah menyeka airmata Damia.
"Mia.. jasad ni milik Allah. Apa yang berlaku semua ada hikmah. Abang minta maaf tak lindungi Mia sebaiknya.."
Keluarga mereka bersatu dalam pelukan, bersatu dalam tangisan. Berdoa semoga ada sinar harapan yang cerah untuk mereka, semoga titik-titik luka tidak akan memutuskan ikatan silaturrahim yang sekian lama terbina. Semoga harapan itulah yang menghidupkan kembali keyakinan pada Mia. Semoga ada kesabaran yang subur pada jiwa Damia.
"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (al-Baqarah : 155)
************
10 Ramadhan..
Setahun berlalu. Hari ini Mia akan berdepan dengan peperiksaan akhir sem. Awal subuh tadi dia terdengar Mia membaca al-Mathurat sebagai permulaan hari yang baik untuk Mia menghadapi peperiksaannya. Hatinya semakin tenang saat melihat senyuman yang sentiasa terukir di wajah Damia.
"Mama doakan Mia dapat jawab yang terbaik nanti. Jangan lupa, sebelum jawab soalan..."
"Hadiahkan al-fatihah buat diri sendiri, pemeriksa dan saudara kita.. serta selawat untuk  Nabi," pintas Mia menyambung pesanan ibunya yang meresap di ruang fikirannya.
"Pandai pun anak mama ni. Johan pun hati-hati memandu tu.. jangan nak cepat sampai je."
"Baik ma. Insya-Allah.." jawab Johan perlahan.
"Beruntung Mia dapat  jawab exam dalam bulan Ramadhan ni. Insya-Allah dapat keberkatan, sambil berjihad dengan nafsu, berjihad pula dengan ilmu," tambah mama terus memberikan semangat buat Damia.
"Insya-Allah, betul tu Mia.. untung Mia tau. Asalkan niat betul, Allah pasti memelihara," sambung Johan sambil bersalam dengan ibunya dan diikuti Mia.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah Iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." (al-Anfaal : 2)
**********
'Banyak lagi persoalan yang belum terjawab. Masih ada masa untuk Haris memikirkan kembali keputusannya. Aku keliru. Benarkah dia benar-benar cintakan aku? Kenapa dia tidak mempersoalkan sedikitpun tentang kisah lalu aku? Maisarah menemaniku menemui Haris. Abang Johan dan mama pun tidak tahu pertemuan yang ku rancang dua hari sebelum tarikh pernikahan. Sepanjang menunggu kedatangan Haris, hati yang menanti penuh debaran diisi zikrullah.
Semoga Allah memberi  kekuatan dan ketenangan buatku. Maisarah tidak putus-putus memberikan nasihat agar aku mengawal emosi bertemu dengan lelaki yang belum lagi mempunyai ikatan sah denganku. Malah, ini adalah kali pertama aku akan bertemu dengan seorang lelaki yang membicarakan soal perasaan, soal diri masing-masing.'
"Haris dah datang," bisikan Maisarah seperti menusuk ke ruang hati.
"Assalamualaikum.." sapa Haris dan terus duduk berhadapan Damia. Mereka tidak tahu, Haris juga pertama kali duduk semeja dengan perempuan yang pertama menyentuh naluri lelakinya, Damia. Malah tidak terfikir pun, gadis muda berusia 21 tahun di hadapannya akan menjadi permaisuri hatinya, dunia Akhirat. Insya-Allah..
"Waalaikumussalam.." jawab Damia dan Maisarah serentak. Setelah itu, diam merajai suasana tatkala masing-masing menunggu pihak mana yang akan bersuara. Damia tunggu Haris. Haris pula menunggu Damia. Maisarah? Akhirnya Maisarah juga yang memulakan perbualan setelah minuman yang dipesan telah tiba.
"Awak.. awak masih ada masa nak ubah fikiran, Ris," ujar Maisarah.
'Thanks Mai! Tapi bukan aku ke sepatutnya cakap dialog tu?' getus hati kecil Damia.
"Nak ubah fikiran? Kenapa Damia? Awak tak setuju ke?" soal Haris, bingung sambil merenung Damia, mengharapkan jawapan.
"Bukan tak setuju.. tapi, tapi.. saya tak seperti perempuan lain. Awak kena faham tu."
"Ya. Saya faham Mia, awak tak sama dengan perempuan di luar sana. Awak gadis tabah yang tetap teguh di jalan Allah walaupun Dia sentiasa menguji awak."
"Tapi.."
"Damia, dengar sini. Bukan kecantikan jasad awak yang membangkitkan rasa cinta saya pada awak, kerana bagi saya semua wanita ciptaan Allah dicipta dengan kecantikan tersendiri. Tapi kecantikan hati dan keperibadian awak yang mengagumkan saya. Kerana tak semua wanita mampu bangun dan terus berpegang teguh pada takdir-Nya setelah rebah dengan dugaan atau musibah. Saya cintakan awak bukan untuk dunia je, tapi Akhirat. Serahkan laluan cinta pada Allah, bukan saya semata. Insya-Allah. Awak akan lebih tenang.."
Terdiam. Bibir seakan terkunci rapat untuk bersuara. Lidah seakan kelu untuk berbicara. Hanya satu yang ku tekadkan dalam hati. Aku redha atas ketentuan-Nya. Hanya dia yang tahu apa yang terbaik.
**********
Skrin komputer riba ditatap lama. Puisi itu benar-benar menyentuh jiwanya. Blog 'an-Nisaa' yang menjadi tatapan Haris kini menarik perhatian. Penuh dengan puisi keagamaan. Siapakah yang diilhami Allah S.W.T untuk menulis puisi yang begitu indah pada Iman. Semoga setiap pembacanya mendapat manfaat dan menghayati tiap bait-bait ayat yang begitu menggegarkan jiwa khalifah. Walau siapa pun penulisnya, semoga Allah merahmatinya.
CINTA..
Andai saja kau bisa merasa getaran HATIku,
Kau akan tahu betapa aku sangat meRINDUi-Mu..
Andai saja kau bisa menadah AIR MATAku,
Kau akan tahu betapa aku takut keHILANGan-Mu..
Andai saja kau JAUH dari diriku,
Kau akan lihat betapa KOSONGnya hidupku..
Andai saja kau HILANG dariku..
Berjuta nyawa pun tak mampu menghidupkan JIWAku!
Cinta..
Jatuhnya aku pada kekuatan cinta tanpa melihat-Mu..
Butanya aku pada dugaan yang menguji kasihku..
Biar nyawa jadi taruhan asalkan cinta ini dipertahankan..
Biar harta dan jasad terkorban..
Kerana cinta ini yang ku damba!
Cinta..
Menyebut nama-Mu takkan pernah jemu..
Mengingatimu takkan pernah lupa..
Memujimu takkan pernah rapuh..
Janji-Mu sentiasa teguh..
Cinta sehidup dan selepas mati..
Cinta yang sentiasa bahagia walau derita..
Aku menyintai sesuatu kerana cinta itu!
Aku hidup kerana cinta itu!
AKu mati kerana cinta itu!
Cukup bagiku cinta-Mu..
Itulah pelindung yang memeliharaku..
Itulah ketenangan yang mententeramkan aku..
Itulah kebahagiaan yang menyinariku..
Engkau yang selalu ada..
Engkau yang sentiasa bersama..
Saat suka dan duka..
Aku cinta pada-Mu..
Aku cinta pada takdir-Mu..
Aku cinta pada jalan-Mu..
Atas nama cinta..
"Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.."
Atas nafas cinta...
Subhanallah..
Alhamdulillah..
Allahu Akhbar..
Jihad cinta buat-Mu ya Rabb...
Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingati-Mu..
Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman pada-Mu..
Puisi 'Aku jatuh cinta' dibacanya berulangkali. Sesekali airmata yang jatuh disekanya segera. Bibirnya meniti istighfar. Puisi itu seakan merasuk kamar emosinya. Menerjah di ruang fikirannya. Lantas jasadnya bangun menyucikan diri dengan wudhu. Tenang. Jiwanya dibalut ketenangan usai sahaja solat tahajudnya tengah malam itu. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahu Akhbar.. zikir berlagu pada bibir, jiwa dan meresap di hati.
**************
"Terima kasih kak Mia, selama ni akak dah banyak bagi dorongan dan nasihat pada Alia, kalau tak.. entahlah apa yang akan jadi."
Wajah Alia ditatap lama. Bukan kerana simpati yang membakar semangatnya untuk membantu Alia, tetapi gadis belasan tahun yang baru memasuki pusat perlindungan Anisa itu benar-benar menyentuh naluri wanitanya. Alia menjadi mangsa rogol manusia tak berperikemanusiaan. Kejam. Satu-satunya ayat yang layak menggambarkan derita gadis ini. Mujur Allah memberi rahmat dan petunjuk pada hambanya yang lemah. Biar jasad ditindas, tapi Iman sedikitpun tidak akan tercalar.
"Syukur pada ALLAH S.W.T, hanya dia yang memberi sinar pada jiwa kita. Kakak cuma jalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, Lia."
"Semalam cikgu Haris beri ceramah sekejap je, tapi kali ini lebih banyak mendengar dan menghayati.. tak seperti selalu."
"Kenapa, dia cakap tentang apa?"
"Kebanyakan penghuni yang ada di sini lemas kerana cinta nafsu, ditindas kerana cinta dunia.. Tapi semalam, bila cikgu Haris berikan puisi ni.. kita sebagai wanita semua hanya terdiam. Dalam diam, semuanya ingin berubah dan bersihkan niat dalam hati, kak" sayu ucapan Alia sambil tangan kanannya lantas menghulur kertas putih yang berada di genggamannya tadi.
Mata membaca setiap bait ayat, menerjah ruang minda dan mencari sudut jiwa. Lantas bibir menguntum senyuman.
"Kenapa akak senyum semacam je, akak pernah baca puisi ni ke?" Alia bingung.
"Puisi ni sangat dekat dengan akak, Lia.. sentiasa rapat di hati akak.."
"Puisi ni diambil dari..."
"Blog an-Nisa," sambung Damia.
Tepat sangkaannya, getus Alia. "Kakak penulis puisi yang selama ni cikgu Haris beri pada kami?"soal Alia terus.
Namun Damia hanya memberikan senyuman sebagai jawapan. Menyembunyikan sedikit emosinya yang masih terkejut kerana suaminya menggunakan nukilan puisi dalam blognya sebagai bahan kaunseling. Tidak menyangka Haris turut menyelami curahan jiwanya dan menyampaikannya dalam corak bimbingan kaunseling.
"Cikgu Haris tak tahulah selama ni yang tulis puisi kegemarannya ialah isterinya sendiri," usik Alia.
"Akak pun tak sangka suami akak boleh terjah blog akak. Sebelum ni memang ada yang minta izin copy semua karya akak melalui emel, tapi akak tak tahu yang minta izin tu suami akak sendiri,"ujarnya sedikit tergelak. Subhanallah..
Kertas yang dicetak dari laman blognya ditatap bersama Alia.
Pilihanku..
Bukannya pada paras rupa yang menawan hati..
Kerana cintaku bukan pada pandangan semata..
Takut jika diwarnai kegelapan..
Kita buta hilang arah..
Pilihanku..
Bukannya pada manis tutur kata bermadah..
Kerana cintaku bukan pada janji yang bermaharajalela..
Andainya suara dikaburi fitnah,
Kita rebah tiada bermaya..
Pilihanku..
Bukan pada banyaknya harta dunia,
Kerana cintaku bukannya ternilai dengan harga..
Bimbang kemewahan membawa leka..
Menghilangkan cinta kita pada-Nya..
Lalu di manakah bahagia?
Pilihanku itu..
seorang yang buta..
Buta menilai paras rupa..
Sesungguhnya syahadahnya menggegar seluruh jiwaku..
Keikhlasannya melakar cinta yang diredha..
Tongkatnya pada akidah yang menyinari laluan bahagia
Pilihanku itu...
Seorang yang bisu..
Bisu mengungkapkan janji yang tiada pasti..
Kerana harapan disandarkan pada Illahi..
Pendiriannya menusuk nurani hawa..
Bait-bait kesyukurannya lahir pada sujud seorang hamba
Pilihanku itu..
Seorang yang papa dan hina...
Papa dengan takbur yang mengubur
Hina kerana sederhana..
Iman memujuk jiwanya..
Cintanya pada agama mengikat tali ukhwah..
Lalu disimpul teguh pada tiang pernikahan..
Pilihan kami..
Pada agama yang memelihara
Pada Syahadah yang mengiringi
Pada al-Quran yang membimbing..
Biar..
Cinta kami pada Maha Menyintai..
Kerana janji-Nya yang pasti
Cinta kami pada kekasih Illahi
Kerana memimpin ke jalan bahagia yang hakiki
Kasih isteri pada cinta yang diberi..
Biarlah sampai ke Akhirat nanti...
Kerana yang  sebenarnya ku mahukan padanya..
Bukan cuma kekasih duniawi..
Tapi teman menuju Syurgawi..
'Ramai yang mencari cinta tetapi tertipu olehnya,
Ramai yang kecewa kerana cinta dan putus asa pada rahmat-Nya,
Ramai yang membenci cinta dan membenci nyawanya.'
"Cinta yang dicari tanpa melalui Pencipta adalah cinta yang tiada batasnya. Cinta tanpa batasan hanya cinta sekadar hiburan. Hiburan yang bukan hanya melalaikan jiwa, menggelapkan hati malah buta pada Pencipta. Apabila musibah melanda, mula salahkan Tuhan kerana tidak menyedarkan daripada leka. Hati kita yang lemah, sentiasa digodai nafsu, sebab itu kita kena berpegang pada sandaran yang kukuh, Allah S.W.T. Adanya Iman.. apapun cabaran kita tetap mara ke hadapan. Insya-Allah."
Panjang bicara Damia.
Hilang kata-kata dari Alia, mereka berdakapan. Terusik dengan kata-kata Damia. Kenapalah sebelum ini aku tidak menghargai nyawa, terlalu awal untuk menyerah dengan kehidupan? Sedangkan Allah tidak putus-putus memberi kesempatan. Air mata mengalir di pipi gebu Alia. Hatinya terlalu akrab dengan Damia.
"Kenapa akak memahami Lia? Adik dan ibu Alia sendiri tak dapat nak faham Lia.. situasi Lia. Akak pun... pernah lalui masa derita macam Lia juga ke?"
Damia tersenyum, biarlah Alia mentafsirkan sendiri makna senyumannya kali ini. Alia memandang Damia dengan pandangan berkaca dan bibirnya turut menguntum senyuman walau soalannya tidak terjawab dengan lisan.
"Bukanlah masa 'derita' Lia.. tetapi masa yang terlalu berharga. Airmata yang menangis buat Pencipta, melihat putaran kehidupan dengan mencari hikmah yang tersembunyi dari Allah, rindu untuk terus sujud mengharapkan bantuan dan menyandarkan harapan pada-Nya. Istilah 'derita' itu patut digantikan dengan 'tarbiyah'. Kita belajar dan diajar melalui kehidupan, Alia. Jadi, jangan anggap ini masa derita buat Alia, belum tentu orang yang bahagia ikhlas mengingati Allah. Saat yang dianggap derita itulah kita sentiasa bertemankan doa."
"Ya. Alhamdulillah, terima kasih kak. Kakak terlalu banyak sedarkan Alia. Alia jahil dengan dunia kak."
"Alhamdulillah.. semuanya dari Allah.." Damia tersentak.
Sejak bila suaminya berada  di hadapan mereka? Tabir yang memisahkan jemaah lelaki dan wanita yang terselak ditiup angin menampakkan jasad Haris yang benar-benar berada di hadapan. Dengarkah dia semua bicaranya pada Alia?
Selesai berjemaah solat Asar, Haris terus mendekati isterinya. Tapi kali ini lain panggilan yang keluar dari mulutnya.
"Nampaknya hari ni biar abang yang masak untuk makan malam, khas buat isteri yang tersayang, an-Nisa," senyuman Haris memerangkap emosinya. Tapi...
"Abang sebut Nisa tu, nama madu buat Mia ke?" Damia sengaja mengusik.
"Amboi, tak payah nak sorok lagi.. lepas ni abang nak bukukan karya tulisan isteri abang. Tak payahlah nak hantar emel nak minta izin kan?"
Sah, Haris dengar tadi! Siap menyindir pula.
"Yelah abang, maaflah sebab berahsia dengan abang."
"Takdelah.. Alhamdulillah, abang beruntung berjumpa dengan penulis puisi kegemaran abang yang selama ni dekat dengan abang, dan dapat tahu rahsia sayang pun kat tempat kegemaran abang, kat surau rumah Anisa. Kenapalah abang tak boleh agak selama ni? Rupanya nama yang sayang beri untuk rumah perlindungan ni pun sama dengan nama blog sayang kan?"
Rumah perlindungan untuk wanita  yang tertindas diberi nama Anisa, walaupun masih baru tetapi berjaya memberi sinar baru buat penghuni-penghuninya. Alhamdulillah, itulah harapan mereka. Itulah Jihad cinta Damia.
"Eh, kata nak masak untuk isteri tersayang, jomlah balik rumah cepat, nanti 'traffic jammed' lambat pula."
"Sebelum tu... nak tahu tak rahsia abang tak?"
"Apa?" ucap Damia tidak sabar.
"Puisi  'Aku jatuh cinta' tu lah yang buat abang terus menyintai sayang kerana Allah.." bisik Haris. Bisikan yang membawa manik-manik ketenangan apalagi saat Haris menyebut nama Allah. Lantas zikrullah menghiasi kamar hatinya sambil menatap wajah suami tercintanya Haris.
Jihad cinta buat-Mu ya Rabb. Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingati-Mu. Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman pada-Mu.

Sunday, November 6, 2011

Mihrab


IQAMAH dialunkan melalui pembesar suara. Saya lekas mengatur langkah menuju ke masjid. Apabila tiba, saya lihat jemaah sudah penuh dua saf. Saya berdiri di saf ketiga. Di kiri dan kanan sudah ada dua tiga orang lagi yang baru sampai dan sama-sama membentuk saf. Saya rapat-rapatkan tumit dan bahu, betulkan saf sungguh-sungguh. Meyakini bahawa saf bukan pada lurusnya sahaja, tapi juga pada rapat dan akrabnya tubuh. Apa yang mengecewakan saya, jemaah masjid walau di mana-mana tidak suka merapatkan tubuh dan bahu bila berdiri dalam saf. Maka saf pun jadi bengkang-bengkok macam ular kena palu dan pada hari ini, seperti hari-hari sebelumnya, saya masih kecewa. Apabila saya rapatkan tubuh kepada makmum di sebelah kanan, dia menjauh sedikit dan jangan diharap pada makmum di sebelah kiri yang memang tidak mahu akrab sejak tadi. Saya kira, jika jemaah saf pertama dan kedua membetulkan saf sungguh-sungguh, merapatkan bahu dan tubuh, sudah tentu tidak akan wujud saf yang ketiga ini.


Aduhai! Saya ingin mengangkat takbir, tetapi terhenti apabila tersentak dengan makmum di sebelah kanan yang angkat takbir berulang-ulang dan tersekat-sekat pula. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!!” Sekali lagi. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!” Masih tak menjadi. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!” Saya jadi hangat. Lekas saya sabarkan hati kerana solat baru sahaja bermula. Namun, Allah mahu menguji sungguh-sungguh kesabaran saya apabila solat telah bermula dan dia membaca al-Fatihah dengan suara yang kuat. Malah siap berlagu pula dengan kepala tergeleng-geleng. Yang paling menjuakkan tidak puas hati, dia masih begitu, mengulang-ulang ayat beberapa kali. Saya seperti ingin berkata kepadanya waktu itu juga; was-was itu datangnya daripada syaitan! Semasa solat saya cuba hadirkan hati buat menggapai khusyuk. Tetapi acap kali konsentrasi saya terganggu oleh makmum di sebelah kanan.

Seusai memberi salam dan berzikir, saya bingkas dan menunaikan solat sunat selepas maghrib disusuli solat sunat hajat. Apabila selesai, saya bingkas dan ingin mencapai mashaf, tetapi benak pantas teringatkan pesanan Imam al-Ghazali tentang salah satu daripada hak solat berjemaah. Pesanan itu beragaman dan mengapung di benak. Saya membatalkan hasrat mengambil mashaf. Lantas tercari-cari makmum di sebelah kanan saya tadi. Dia kelihatan sedang duduk bersila di saf yang ketiga, menghadap mihrab. Saya menghampiri dan duduk di sebelahnya. Saya lihat wajahnya dari sisi, maka tahulah saya yang umurnya sudah renta. Saya rasa tak sedap hati. Bagaimana saya ingin menunaikan tanggungjawab dan hak ini? Saya tahu, saya perlu menunaikan hak untuk menegur dan memperingatkan jika melihat orang lain yang kurang betul atau melakukan kesalahan dalam solatnya.

Berilah pengajaran dan pengetahuan. Imam al-Ghazali seperti berbisik rapat di telinga saya. Aduh, apakah tindakan saya ingin menegur sekarang ini, dalam waktu ini juga, adalah tindakan yang wajar? Apatah pula saya baru berpindah dua hari di kawasan ini dan mahu pula menegur seorang yang sudah agak renta, mungkin juga sudah bermastautin lama di sini. Apakah ini adalah tindakan yang waras? Apakah saya akan dituduh memandai-mandai dan tunjuk lagak? Pesanan Imam al-Ghazali mengapung lagi. Bergema dalam hati. Saya membulatkan nekad. Saya perlu mencegah. Saya tidak mahu bersubahat dan sama-sama menanggung dosa. Orang tua itu kelihatan sedang khusyuk berdoa. Saya menunggu beberapa detik.

Setelah melihat dia meraup kedua tangannya ke muka, saya memberi salam dengan nada yang paling lembut. Dia memandang saya dengan kening berkerut seraya menjawab salam. Saya tersenyum kepadanya seraya bertanya, “Pakcik apa khabar?” Dia masih kerut kening dengan wajah diserkup pelik. “Alhamdulillah.” Suaranya mendatar. Saya tahu, waktu ini saya perlu berhati-hati mengeluarkan kata-kata. Saya perlu membeli kepercayaannya dahulu. Saya lantas memperkenalkan diri dan latar belakang, kemudian menghulurkan tangan. Kami berjabat. Dia saya kenali sebagai pakcik Muhsin. Setelah berbual dengannya beberapa minit, maka betullah telahan saya yang dia sudah lama tinggal di kawasan ini. Malah, rumahnya juga karib dengan masjid. Waktu ini, saya sudah mula merasakan keakraban, justeru saya kira kami sudah bersedia melanjutkan perbualan kepada mauduk utama.

“Apa pendapat pakcik tentang saf jemaah di masjid ini?” Senyuman masih tekal di bibir saya. “Bagus.” Dia mengangguk kepala sedikit. Saya tersenyum lagi. Kemudian memandangmihrab. Sebetulnya ingin memancing respons. “Kenapa?” Suaranya kedengaran serak-serak. “Saya kira kurang baik, pakcik. Walaupun baru dua hari di sini, saya lihat saf di sini masih bengkang-bengkok. Jemaah juga tidak mahu merapatkan bahu bila berdiri bersama.” Saya kembali memandangnya dengan senyuman. Saya tahu, senyuman ada kuasa memikat, selain pahala bersedekah. “Itu tak jadi masalah.” Dia bersuara acuh tak acuh. Saya terkedu sedikit. Senyuman saya mati. Di situ, keegoannya sudah mula terserlah. Saya memujuk hati dan membacakan sebuah hadis riwayat Muslim tentang saf, “Luruskan barisanmu, jangan bengkang-bengkok; kerana barisan yang bengkok nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah belah.”

“Saf ni asas solat berjemaah pakcik, kesempurnaan solat berjemaah. Kalau kita sambil lewa, matlamat untuk mengakrabkan silaturrahim sesama Muslim itu tak akan tercapai. Hati kita akan bengkang-bengkok seperti saf itu. Penuh hasad, iri, takbur dan macam-macam lagi.” Saya bersuara lembut dan moga-moga akan menusuk ke kalbunya. “Lagi?” Nada suaranya ditinggikan. Ya, kini saya sudah mula merasakan suatu gejolak. “Cara solat pakcik. Saya nasihatkan sebelum solat, pakcik bacalah surah an-Nas dan berta’awuzlah, mohon perlindungan daripada syaitan yang direjam. Was-was itu datangnya daripada syaitan dan kejahilan.” Saya mengukir senyuman semanis madu.

Orang tua itu tiba-tiba mendengus. “Apa? Aku jahil?”

Matanya terbeliak memandang saya. Saya terkesiap. Sungguh, saya benar-benar tidak menjangka akan menerima reaksi sedemikian. Saya menarik nafas dalam-dalam. Pandangannya tidak saya balas dan kembali terlempar ke arah mihrab. Saya perlu mewujudkan jeda. “Aku cuba untuk khusyuk.” Pakcik Muhsin tiba-tiba berkata perlahan setelah berlalu beberapa detik. Saya gesit memandangnya. Dia pula lekas mengalih pandang ke arah mihrab. Tidak mahu bertentang mata. Hati saya dijentik kagum. Rasa kasihan juga bercampur baur. Ya, sekarang inilah waktu yang paling sesuai untuk saya menyampaikan dan memberikan pedoman.


“Izinkan saya memberikan formulanya, pakcik.” Saya memandang sisi wajahnya. Dia langsung tidak memandang saya. Geleng pun tidak, angguk pun tidak. “Pakcik perlu hadirkan hati.” Saya perasan kening pakcik Muhsin yang berkerut. “Maksudnya, hati itu mesti dikosongkan daripada segala sesuatu yang tidak ada sangkut paut dengan solat. Yang ada hanya Tuhan yang ingin kita sembah.” Dia kelihatan mengangguk sedikit. Riaknya itu sudah cukup sebagai pendorong semangat saya berbicara. Saya senyum, kemudian membacakan firman Allah dalam surah Taha ayat 14, “dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.” Kemudian saya iringkan dengan surah al-A’raf ayat 205, “Dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.”

“Kelekaan dan kelalaian itu adalah lawan kepada mengingati. Jika lalai dalam solat, bagaimanakah ingin dikatakan seseorang itu ingat kepada Allah? Solat bukan pada zahir sahaja, tapi juga pada batinnya.” Saya bacakan pula ayat 43 daripada Surah an-Nisa’, “hingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan.”

“Walaupun ayat ini adalah sebagai dalil melarang orang-orang yang sedang mabuk mendirikan solat sebelum pengharaman arak secara mutlak, tetapi ayat ini juga boleh digunakan sebagai larangan bagi orang-orang yang leka, lalai dan orang-orang yang dihinggapi penyakit was-was.”

Masjid itu tiba-tiba berdengung dengan bunyi motosikal. Saya berhenti seketika. Budak-budak rempit ini memang tidak pernah kenal ketololan mereka. Setelah bunyi itu reda, pakcik Muhsin memandang tunak wajah saya, saya tersenyum sepicing dan kembali menyambung. “Pakcik lihat sekarang, ramai orang yang mengerjakan solat atau mengaku menunaikan solat, tapi aurat terbuka sana, terbuka sini, senang kata, maksiat atau dosa tetap mereka lakukan. Sedangkan kita maklum, solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. Berdasarkan sebuah hadis riwayat Tabrani, “Barang siapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perbuatan keji dan mungkar, maka orang itu tidaklah ditambah oleh Allah melainkan jauh, yakni jauh dari kebenaran.” Bermakna, kalimah-kalimah dalam solat hanya meniti di bibir sahaja, tidak mengalir ke dalam hati. Atau mereka gagal menghadirkan hati.” Saya menerangkan bersungguh-sungguh.

“Orang yang gagal menghadirkan hati ni seperti orang yang mengigau, pakcik.” Saya sengaja tidak memandang kepada pakcik Muhsin. Pandangan saya jatuh ke arah mihrabyang terbentang sejadah imam itu, tapi minda dan hati jauh berkelintar. “Mengigau?” Pakcik Muhsin yang baru saya kenali itu menyoal. Daripada bunyi nadanya saya tahu dia sedang kepelikan. Pesanan Imam al-Ghazali beragaman dalam benak saya. “Ya pakcik. Orang yang lalai ini seperti orang yang mengigau dalam tidur. Apakah orang yang berkata-kata dalam tidur dikira sebagai ucapannya sendiri atau igauan semata-mata? Adakah kata-kata ‘pakcik sudah pergi ke London’ semasa dalam tidur, orang akan percaya dan terima?” Pada perkataan London itu saya menyebutnya menggunakan ejaan Melayu seraya terkerisin.

Saya membetulkan sila.

Pakcik Muhsin menunggu dengan mata terkejip-kejip. “Jadi, solat kita semasa lalai, segala ayat-ayat dalam solat kita lafazkan sedangkan hati kita alpa, tidak jaga dan tidak hadirkan hati, adalah seperti orang yang mengigau, tidak tahu apa yang diucapkan, tidak sedar dan apakah solat kita akan diterima Tuhan?”

Saya kembali memandangnya. Namun, saya sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pakcik Muhsin bangun tiba-tiba dan memandang saya sepicing sebelum berlalu ke arah mihrab. Ada tiga orang jemaah di saf yang pertama menghadapmihrab, yang saya rasakan orang-orang kuat masjid. Hati saya diterpa bermacam rasa. Walang, bimbang dan gentar bercampur baur. Saya menghela nafas dan lekas beristighfar. Meyakinkan hati, bahawa kemenangan itu adalah untuk orang-orang yang benar. Saya teringat firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 165, “Maka tatkala mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik.”


Hati saya hanya mampu mendoakan agar pakcik Muhsin tidak termasuk di kalangan golongan yang disebut Allah dalam ayat ini. Golongan yang tidak menghiraukan, tidak mempedulikan apabila datang peringatan kepada mereka. Saya melihat jam, waktu masih awal. Masih ada masa lebih kurang tiga puluh minit sebelum masuk fardu Isyak. Saya lekas bingkas dan mengambil mashaf, kemudian beriktikaf semula di tempat yang sama. Namun, belum pun sempat saya membuka mashaf, ada orang memegang tangan saya. Saya terkedu apabila melihat pakcik Muhsin berada di sisi saya dan meminta saya bangun.

“Bangunlah. Pakcik sudah cadangkan pada imam dan jawatankuasa untuk membenarkan anak memberikan tazkirah. Mereka setuju.” Saya bingkas dan menurutinya dalam pinga. “Adalah tidak adil jika anak menyampaikan ilmu untuk pakcik seorang saja. Apa yang ingin anak sampaikan penting dan perlu juga disampaikan kepada jemaah.” Dia mengukir senyum. Senyuman yang julung-julung kalinya tentu! Serentak itu saya terdengar suara imam meminta semua jemaah menumpukan perhatian di hadapan. Saya terkesima. Subhanallah! Hati saya diterpa kagum tak henti-henti. Zikir dalam hati bertemali. Saya melangkah dan duduk di mihrab.

Sebelum memulakan kuliah, saya memandang pakcik Muhsin yang duduk karib di sebelah kanan, kemudian ke arah jemaah di sekitar masjid. Jiwa saya ketika itu beragaman dengan diksi - ayuh, kita hadirkan hati! 

Tuesday, November 1, 2011

Gagal Sebagai Bekalan

Gagal vs Kejayaan

Manusia dijadikan dengan fitrah yang menginginkan keamanan dan kesejahteraan didalam hidup. Tetapi Allah tidak mengurniakan semua manusia dengan keamanan dan kesenangan hidup di dunia mahupun di akhirat. Boleh jadi seseorang itu sangat bahagia di dunia tetapi diazab di hari akhirat dan boleh jadi seorang seseorang itu sengsara di dunia tetapi bahagia di akhirat dan boleh jadi seseorang itu bahagia atau sengsara di dunia mahupun di akhirat.

Firman Allah: 
Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.
(Al-Baqarah:216)

Dalam menyelusuri jalan mengharapkan redha Allah ini, kita akan sentiasa berhadapan dengan mehnah(ujian/bala) dan tribulasi(kesengsaraan) yang disediakan oleh Allah sebagai tanda ujian untuk membuktikan bahawa kita adalah golongan yang beriman kepada Allah

Firman Allah:

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.
(Ali-Imran:142)

Syurga adalah sebuah tempat yang sangat diidamkan oleh manusia. Syurga juga digambarkan dengan gambaran-gambaran yang meruntun jiwa, tetapi siapakah golongan yang sebenarnya layak untuk dinobatkan ke dalam syurga?

Ujian yang dikurniakan kepada kita adalah bukti yang melayakkan kita mengecapi manisnya syurga. Tanpa ujian kita masih belum disahkan lagi kelayakkan sebagai orang yang beriman.

Ujian juga menjadi sebuah medan untuk manusia mengkoreksi diri dan bermuhasabah. Mungkin selama ini kita sentiasa berada didalam zon yang amat selesa sehingga melalaikan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah, tetapi kerana sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim, Dia masih lagi menguji kita untuk tersedar dan kembali padaNya.

Allah menceritakan tentang ganjaran yang diperolehi oleh seseorang yang menafkahkan harta dan jiwanya kepada Allah SWT.

usaha

Firman Allah:

Sesungguhnya Allah Telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.
(At-Taubah:111)

Itulah janji yang telah ditawarkan oleh Allah dalam bentuk jual beli, walaupun kita gugur didalam perjuangan, kita gugur untuk mendapatkan rindu kepada Allah.

Firman Allah:
Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). jika kamu menderita kesakitan, Maka Sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan. dan adalah Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(An-Nisaa’:104)

Justeru sahabatku sekalian, didalam perjuangan ini tiada erti kekalahan, Allah sudah menyediakan ganjaran-ganjaran yang terbaik untuk manusia yang ikhlas berjuang dijalanNya. Biarkan setiap cercaan manusia menerpa kita, biarkan setiap ujian melanda, pastikan kita yakin dan terus maju untuk mendapatkan matlamat keredhaan Allah SWT.
SESUNGGUHNYA SYURGA ITU MANIS DAN JALAN MENUJU SYURGA ITU SANGAT PAHIT..
Kerajaan Khulafa Ar-Rasyidin


Pengenalan Ringkas Khulafah Ar-Rasyidin
Khalifah ialah orang yang memegang jawatan sebagai ketua negara Islam Tempoh pemerintahan Khulafah Ar-Rasyidin ialah lebih kurang 29 tahun(11-41 hijrah). Khulafah Ar-Rasyidin terdiri daripada: 

i) Khalifah Abu Bakar al-Siddiq 
ii) Khalifah Umar bin al-Khattab 
iii) Khalifah Uthman bin Affan 
iv) Khalifah Ali bin Abu Talib 

Khalifah Abu Bakar 

Nama: Abdullah bin Abi Qahafah 
Keturunan: Bani Tamim 
Gelaran: ‘As-Siddiq’ -mengakui kebenaran Rasulullah S.A.W dalam peristiwa Israk Mikraj Peribadi: Merupakan orang yang pertama memeluk islam.Seorang yang jujur, pekerti baik, amanah Meninggal dunia: 23 Jamadilakhir tahun 23 Hijrah dan dimakamkan di Madinah berhampiran dengan makam Rasulullah S.A.W 
Pelantikan: Rasulullah S.A.W tidak menetapkan seseorang sebagai pegganti selepas kewafatan baginda. Abu Bakar mencadangkan Umar Al-Khattab atau Ubaidah sebagai pengganti beliau selepasnya. Kedua-dua membantah lalu mereka berjabat tangan dengan Abu Bakar dan terus memberi bai’ah melantik Abu Bakar sebagai khalifah. 
Sumbangan: 
i)Berjaya mengatasi masalah perpecahan yang melanda masyarakat Islam selepas kewafatan Rasulullah. 
ii)Mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar, iaitu kerajaan Parsi di sebelah timur dan kerajaan Rom Timur(Byzantine) di sebelah barat. 

Khalifah Umar bin Al-Khattab 

Nama: Umar bin al-Khattab bin Naufal 
Tarikh lahir: 13 tahun selepas kelahiran Rasulullah S.A.W 
Keturunan: Bani A’dy 
Gelaran: ‘Al-Faruk’ pemisah antara hak dan batil. Memeluk islam pada tahun ke-6 selepas kerasulan Nabi Muhammad S.A.W 
Meninggal dunia: Akhir bulan zulhijjah tahun 23 hijrah berusia 63 tahun setelah memerintah selama lebih kurang 10 tahun. 
Pelantikan: Melalui wasiat yang dibuat oleh Abu Bakar bagi mengelakkan perpecahan umat. Wasiat ditulis oleh Usman bin Affan. Dipersetujui oleh seluruh umat Islam 
Sumbangan: 
i)Menubuhkan beberapa jabatan penting seperti Jabatan Tentera, Jabatan Polis, Jabatan Pencukaian dan Jabatan Perbendaharaan 
ii)Mengembangkan pengajatan al-Quran 
iii)Telah menyusun sistem ketenteraan 
iv)Telah membina terusan dan tali air 
v)Pelaksanaan cukai Islam yang lebih terperinci

Khalifah Uthman bin Affan 

Nama: Uthman bin Affan 
Tarikh lahir: 5 tahun selepas kelahiran Rasulullah 
Keturunan: Bani Umaiyah 
Peribadi: Dari kecil lagi terkenal dengan sifat mulia, lemah lembut, hartawan, dermawan, dan memiliki semangat jihad yang tinggi 
Gelaran: ‘Zunnurain’ kerana mengahwini dua puteri Rasulullah S.A.W 
Meninggal dunia: 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah ketika berumur 80 tahun kerana dibunuh pemberontak 
Pelantikan: Semasa Khalifah Umar sakit, beliau mencadangkan 6 orang sebagai pergganti beliau iaitu Usman, Ali bi Abi Talib, Talha bin Ubaidiah, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Abdul Rahman bin Auf Tahlah, Zubair, Saad dan Abdul Rahman menarik diri daripada jawatan khalifah. Berdasarkan pendapat para sahabat dan orang ramai, Abdul Rahman bin Auf megisytiharkan Usman bin Affan sebagai khalifah.
Sumbangan: 
i)Berjaya meluaskan wilayah Islam hingga ke Afghanistan, Samarland, Cyprus dan Tripoli ii)Mengukuhkan pertahanan negara dengan membina angkatan tentera laut Islam 
iii)Telah mengisytiharkan sebuah naskah al-Quran yang dikenali dengan musyaf uthmani 
iv)Telah membina jalan raya, jambatan dan rumah rehat 
v)Memperkukuhkan peranan baitumal 

Khalifah Ali bin Abi Talib 

Nama: Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim 

Tarikh lahir: 10 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad S.A.W 
Peribadi: Bersifat berani, tegas dan menguasai pelbagai ilmu yang mendalam.Kanak-kanak yang pertama memeluk islam 
Meninggal dunia: 40 hijrah setelah memerintah selama 5 tahun 
Pelantikan: Menerima jawatan Khalifah atas desakan orang ramai bagi mententeramkan pergolakan akibat pembunuhan Usman bin Affan.  
Sumbangan:
i)Banyak membantu menyelesaikan masalah yang berhubungan dengan masyarakat dan undang-undang Islam 
ii)Berusaha mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara 
iii)Membina markas tentera di Parsi dan sempadan Syria 
iv)Mengembangkan sistem ekonomi negara 

Kronologi Khulafa al-Rasyidin 

632 M - Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Usamah mengetuai ekspedisi ke Syria. Kempen menentang Bani Tamim dan Musailimah. 
633 M - Pengumpulan Al Quran bermula. 
634 M - Kewafatan Saidina Abu Bakar. Saidina Umar Al-Khatab dilantik menjadi khalifah. Penaklukan Damsyik. 
635 M - Penawanan Madain. 
636 M - Penaklukan Syria, Mesopotamia, dan Palestin. 
637 M - Mesir ditawan. 
638 M - Penawanan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam. 
640 M - Kerajaan Islam Madinah mula membuat duit syiling Islam. 
644 M - Saidina Umar mati syahid akibat dibunuh. Saidina Uthman Affan menjadi khalifah. 
645 M - Kempen di Afrika Utara. Cyprus ditakluk. 
646 M - Kempen menentang Byzantine. 
647 M - Perang di laut menentang angkatan laut Byzantine. Empayar Parsi ditumpaskan. 
648 M - Pemberontakan menentang pemerintahan Saidina Uthman. 
656 M - Saidina Uthman wafat akibat dibunuh. Saidina Ali Abi Talib dilantik menjadi khalifah. Terjadinya Perang Jamal. 
657 M - Saidina Ali memindahkan pusat pemerintahan daripada Madinah ke Kufah. Perang Siffin meletus. 
659 M - Saidina Ali menawan kembali Hijaz dan Yaman daripada Muawiyah. Muawiyah mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah Damsyik. 
661 M - Saidina Ali wafat. Tamatnya pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. Muawiyah mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.

Pesanan Editor
Lihatlah para sahabat Rasulullah saw yang berjuang bersunguh-sunguh demi agamaNya walau kekasih yang amat dicintai telah pergi meninggalkan mereka. Mata rantai dakwah yang diperjuangkan tidak akan pernah terhenti, maka adakah kita ingin menjadi penyambung mata rantai tersebut atau hanya menjadi mutiara yang tenggelam jauh ke dasar lautan,walau betapa cantik pun, tiada siapa yang akan mampu melihat atau menyentuhnya. Jadi ayuh sahabat yang dikasihi Allah swt sekalian, mari kita sambung mata rantai perjuangan ini, walau terpaksa berkorban harta dan jiwa.'Sebarkanlah dariku walau pun satu ayat.'